Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 3 ribu penderma baru berdaftar tahun lalu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Jun – Pada tahun 2016, Negara Brunei Darussalam menerima seramai 13,037 penderma darah termasuk 3,495 penderma darah baru berdaftar.

    Walaupun dengan jumlah berkenaan, ada kalanya negara masih berdepan cabaran kekurangan bekalan darah, oleh itu, lebih ramai penderma darah diseru tampil dan menjadi penderma darah tetap bagi memastikan bahawa bekalan berkenaan terus mencukupi, selamat dan mapan.

    Seruan ini dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dalam perutusannya sempena Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut di seluruh dunia pada 4 Jun 2017.

    Terdahulu itu, beliau berkata, menderma darah adalah salah satu khidmat sosial paling penting kepada manusia, yang mana orang normal dan sihat dengan mudah boleh menderma banyak kali antara usia 18 dan 60 tahun.

    Dengan menderma darah, kita boleh membantu pelbagai orang yang memerlukan dan menyelamatkan nyawa mereka yang berharga.

    “Sekali menderma darah boleh menyelamatkan tiga nyawa. Bagaimana maju pun sains dan teknologi, sehingga kini, percubaan-percubaan saintis untuk menghasilkan darah artifisial tidak berjaya,” tambah beliau.

    Menyentuh mengenai slogan Hari Penderma Darah Sedunia tahun ini iaitu ‘Apa yang anda boleh lakukan? Derma Darah. Derma Sekarang. Derma Selalu’ Menteri Kesihatan berkata, ia memfokuskan ke atas pendermaan darah semasa kecemasan.

    Semasa krisis atau situasi kecemasan, tekan beliau, tindak balas semula jadi manusia adalah “Apa yang boleh saya lakukan? Bagaimana saya boleh bantu?”.

    “Kehilangan darah akibat kecederaan traumatik boleh membawa kematian. Kita tidak mahu menunggu sehingga malapetaka berlaku untuk menderma darah,” ujar beliau sambil menambah, bersedia lebih awal adalah cara terbaik supaya mereka yang memerlukan akan mempunyai peluang hidup yang lebih tinggi.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan bahawa menderma darah boleh membantu membakar kalori dan mencegah zat besi berlebihan dalam darah. Pengurangan paras zat besi dalam badan dikaitkan dengan risiko kanser rendah.

    Selain itu, kerap menderma darah juga boleh mengurangkan risiko penderma menghidap penyakit-penyakit tidak berjangkit seperti penyakit jantung dan kanser.

    Menurut beliau, objektif Hari Penderma Darah Sedunia adalah sangat relevan dan selaras dengan keutamaan-keutamaan strategik kementeriannya iaitu untuk mendorong agenda ‘Kesihatan Tanggungjawab Semua’, meningkatkan penyampaian kualiti perkhidmatan dan mencegah serta mengawal penyakit-penyakit tidak berjangkit.

    “Setiap penderma darah adalah wira kepada semua yang menerima darah. Alhamdulillah, darah yang mereka dermakan adalah hadiah kehidupan yang luar biasa. Darah yang anda berikan adalah penting dalam kecemasan dan bagi orang yang memerlukan rawatan jangka masa panjang.

    “Sebagai penghargaan kepada penderma darah kerap, Kementerian Kesihatan mengucapkan tahniah, menghargai dan berterima kasih atas usaha sukarela penderma darah termasuk wira-wira generasi muda yang dengan beraninya mula menderma darah pada usia 17 tahun.

    Pendermaan anda adalah pendermaan menyelamatkan nyawa,” ujar belia di akhir perutusan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda