WELLINGTON, 25 NOV – Lebih 30 ekor ikan paus jenis pilot yang terdampar di Pantai Ruakaka, utara New Zealand, berjaya diselamatkan dengan usaha gigih pekerja pemuliharaan dan penduduk setempat. Menggunakan kain cadar, mereka berjaya mengapungkan semula ikan paus tersebut ke laut.
Menurut Jabatan Pemuliharaan New Zealand, empat daripada paus tersebut termasuk seekor anak paus tidak dapat diselamatkan dan disahkan mati.
New Zealand dikenali sebagai lokasi utama fenomena ikan paus terdampar, dengan paus pilot sering kali menjadi spesies yang terjejas.
Pasukan pemantau telah dikerahkan ke pantai berhampiran bandar Whangarei hari ini untuk memastikan tiada paus yang diselamatkan kembali terdampar. Jabatan Pemuliharaan memuji usaha ‘luar biasa’ yang ditunjukkan ratusan sukarelawan.
Satu upacara kebudayaan Maori diadakan hari ini untuk menghormati tiga ikan paus dan seekor anak paus yang tidak berjaya diselamatkan. Paus dianggap sebagai taonga – harta suci yang mempunyai kepentingan budaya tinggi bagi masyarakat asal New Zealand.
Sejak 1840, lebih 5,000 kes paus terdampar telah direkodkan di New Zealand. Kes terbesar melibatkan kira-kira 1,000 ekor paus pilot di Kepulauan Chatham pada tahun 1918.
Fenomena terdampar itu sering kali sukar dijelaskan, tetapi geografi New Zealand dipercayai memainkan peranan penting. Kedua-dua Pulau Utara dan Selatan memiliki pantai yang menonjol dengan cerun landai yang boleh mengelirukan paus yang bergantung pada gema lokasi untuk menavigasi. – AP