PORT SUDAN, 6 JAN – Lebih 30 juta penduduk Sudan, termasuk lebih separuh daripadanya kanak-kanak, kini memerlukan bantuan kemanusiaan selepas 20 bulan konflik bersenjata, menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) hari ini.
PBB telah melancarkan rayuan dana berjumlah AS$4.2 bilion, bertujuan membantu 20.9 juta penduduk daripada keseluruhan 30.4 juta individu yang dikenal pasti memerlukan bantuan. PBB menyifatkan situasi itu sebagai “krisis kemanusiaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini.”
Peperangan yang bermula pada April 2023 antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah memusnahkan negara itu, meletakkannya di ambang kebuluran.
Puluhan ribu orang telah terkorban dan lebih lapan juta orang kehilangan tempat tinggal. Ini ditambah dengan 2.7 juta orang yang telah dipindahkan sebelum konflik, menjadikan Sudan sebagai krisis perpindahan dalaman terbesar di dunia.
Selain itu, 3.3 juta orang telah melarikan diri merentasi sempadan Sudan bagi mengelak daripada peperangan, bermakna lebih satu perempat daripada jumlah populasi negara itu sebelum perang, yang dianggarkan sekitar 50 juta, kini kehilangan tempat tinggal.
Lima kawasan di Sudan telah diisytiharkan mengalami kebuluran dan dijangka merebak ke lima kawasan lain menjelang Mei, dengan 8.1 juta orang kini berada di ambang kebuluran besar-besaran.
Kerajaan yang disokong tentera Sudan menafikan wujudnya kebuluran, manakala agensi bantuan mendakwa akses mereka dihalang oleh halangan birokrasi dan keganasan yang berterusan. – AFP