Lebih 30 kes varian Omicron dikesan di UK

LONDON, 2 DIS – Pihak berkuasa kesihatan Britain hari ini mengesahkan sembilan lagi kes varian koronavirus Omicron dikesan di England dan satu di Scotland, menjadikan jumlah keseluruhan 32 kes, lapor Xinhua.

Setakat ini, 22 kes varian Omicron dikenal pasti di England dan 10 di Scotland, kata Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA).

Ketua Eksekutif UKHSA Dr Jenny Harries berkata, “Kemungkinan besar kami akan menemui lebih banyak kes dalam beberapa hari akan datang, seperti yang kita lihat di negara lain di seluruh dunia dan ketika kami meningkatkan pengesanan kes melalui pengesanan kontak terfokus.”

“Itulah pentingnya bagi sesiapa yang mempunyai simptom COVID-19 mengasingkan diri dan melakukan ujian PCR dengan segera,” kata Harries.

Britain mencatatkan 48,374 kes jangkitan baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes koronavirus di negara itu kepada 10,276,007, menurut angka rasmi yang dikeluarkan kelmarin. – Bernama