Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jan – Lebih 30 orang hadir bagi sama-sama memeriahkan acara 1 Nation Workout yang dianjurkan oleh ActivFitness Studio yang berlangsung di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kiulap, petang kelmarin.
Program yang berlangsung lebih kurang sejam itu bertujuan bagi menggalakkan cara hidup sihat, kekal aktif bersama keluarga dan rakan melakukan riadah ke arah hidup yang lebih sihat.
Pelbagai aktiviti dan senaman yang dilakukan pada acara berkenaan seperti Zumba, circuit training dan pengenalan Fatburn Extreme (FBX). Acara yang dibukakan kepada semua peringkat usia tersebut turut dihasrat dapat menyatukan hati masyarakat bagi memerangi masalah obesiti di Negara Brunei Darussalam.
Salah seorang peserta, Dayang Hafizza binti Amli ketika ditemui Media Permata memberitahu bahawa program berkenaan dapat membantu dirinya serta keluarga untuk meluangkan masa bersama melakukan aktiviti yang berfaedah selain meningkatkan pengetahuan mereka terhadap tatacara melakukan senaman dengan betul.
Aktiviti seumpamanya sering diadakan oleh ActivFitness Studio secara percuma bagi membantu masyarakat di negara ini mengamalkan gaya hidup yang sihat.