Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Lebih 30 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam kempen derma darah yang dianjurkan oleh Kompleks Annajat dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang berlangsung di Tingkat 1, Kompleks Annajat, Beribi, kelmarin.
Kempen tahunan tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat yang bertujuan untuk menanam sifat keprihatinan terhadap individu yang memerlukan darah dan juga meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menderma darah.
Di samping itu, ia bertujuan untuk mengamalkan gaya hidup sihat bagi mereka yang menderma darah serta meningkatkan lagi jumlah simpanan tabung darah bagi kegunaan Hospital RIPAS.