Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 30 pelajar mengalami ‘kerasukan’

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Oktober 2002 – Suasana sebuah sekolah menengah di Jerudong bertukar menjadi huru-hara apabila kira-kira 30 orang pelajarnya tiba-tiba menjerit tidak sedarkan diri.

    Seorang kakitangan sekolah berkata, kejadian ‘kerasukan’ itu adalah yang kedua berlaku di sekolah itu selepas 10 pelajar sekolah itu mengalami kerasukan pagi kelmarinnya, dipercayai berpunca dari tempat yang sama.

    Dalam kejadian yang bermula pada jam 9 pagi di tempat yang sama kelmarin, tandar pelajar, seorang pelajar perempuan yang keluar dari tandas menjerit dengan tiba-tiba.

    Menurut seorang lagi kakitangan sekolah, bunyi jeritan yang lantang itu menyebabkan beberapa orang pelajar lain, yang berada berhampiran turut tidak sedarkan diri lalu menjerit sambil berlari tanpa haluan.

    Suasana tenteram ketika sebilangan pelajar sekolah itu menghadapi ujian amali Peperiksaan Menengah Bawah bertukar menjadi tidak terkawal apabila jeritan mereka yang ‘kerasukan’ menjadi semakin lantang.

    Seketika kemudian, seorang demi seorang pelajar perempuan termasuk dua pelajar lelaki rebah lalu menjerit dan meronta-ronta tidak sedarkan diri setelah mendengar jeritan itu.

    Ibu bapa pelajar berkejar ke sekolah itu untuk mengambil anak-anak mereka sambil berkata ambulans sudah berada di perkarangan sekolah untuk membawa mereka ke hospital.

    Wartawan Media Permata yang tiba di kawasan letak kereta sekolah itu kira-kira jam 12 tengah hari mendapati keadaan masih belum terkawal dan beberapa orang ibu bapa kelihatan cemas mencari anak-anak mereka, sementara para pelajar, terutama pelajar perempuan kelihatan ketakutan.

    Dalam satu kes, seorang pelajar perempuan yang sudah duduk di belakang kereta bapanya untuk dibawa pulang mula meronta-ronta apabila ayat Al-Quran dibacakan oleh seorang yang mendakwa diarahkan pergi ke sekolah itu oleh imam masjid berhampiran.

    Media Permata bagaimanapun gagal mendapat penjelasan lanjut daripada pengetua sekolah itu, yang menurut kakitangannya sudah keluar untuk membuat laporan di balai polis berhampiran.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda