Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Dalam usahanya memperluaskan pengetahuan para guru dan jurulatih terhadap latihan ‘Young Athletes’, Olimpik Khas Brunei Darussalam (SOBD) telah mengendalikan Bengkel ‘Young Athletes Coaches’, hari ini.
Bengkel yang berlangsung di Dewan Inspirasi, Universiti Brunei Darussalam berkenaan telah disertai oleh lebih 30 orang guru dan jurulatih dari Pusat Sindrom Down (ABLE), La Vida, Rising Star Child Development Centre, Freda Radin dan Persatuan Kanak-kanak Cacat (KACA).
Ia dimulakan dengan perkongsian mengenai kepentingan ‘Young Athletes Coaches’ yang disampaikan oleh Pengarah Young Athletes SOBD, Dawn Lee.

Antara lain tujuan bengkel adalah untuk memberikan latihan yang berkualiti kepada para jurulatih terutama bagi mereka yang melibatkan diri dalam pertumbuhan kanak-kanak seperti para pengajar, ahli-ahli terapi dan para ibu bapa agar mereka dapat mengendalikan aktiviti-aktiviti ‘Young Athletes’ bersama kanak-kanak berkeperluan khas atau biasa dengan lebih berkesan dan teratur.
Selain itu, ia juga dijalankan untuk memberi galakan minat bersukan kanak-kanak pada usia yang muda untuk menjadi ‘Young Athletes’ yang berkebolehan mengikuti perlawanan seperti bola sepak, badminton, boling dan sebagainya.
Pengelolaan bengkel tersebut turut dibantu bersama sukarelawan-sukarelawan dari UBD yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi tahun ketiga yang sedang menjalani aktiviti Program Jangkauan Komuniti di SOBD.