ISTANBUL, 19 MEI – Lebih 300 kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) terbunuh dalam serangan Israel di Gaza sejak Oktober 2023, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik kenyataan ketua agensi itu kelmarin.
“Hari ini, angka korban melepasi paras tragis 300 orang. Sebahagian besar daripada mereka dibunuh oleh Tentera Israel bersama anak-anak dan insan tersayang mereka: seluruh keluarga terkorban,” kata Pesuruhjaya Agung UNRWA, Philippe Lazzarini dalam satu hantaran di platform X.
Menurut Lazzarini, sebahagian besar anggota UNRWA yang terkorban merupakan petugas kesihatan dan guru.
“Beberapa daripada mereka maut ketika sedang menjalankan tugas membantu komuniti masing-masing. Tiada apa yang boleh dijadikan alasan untuk pembunuhan ini.
“Kebal daripada hukuman hanya akan membawa kepada lebih banyak pembunuhan. Pihak yang bertanggungjawab mesti dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.
UNRWA ditubuhkan pada 1949 sebagai talian hayat kritikal untuk pelarian Palestin yang kini sedang menyokong hampir 5.9 juta orang di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan.
Menurut data Bank Dunia, hampir 2.4 juta penduduk Gaza kini bergantung sepenuhnya kepada bantuan kemanusiaan.
Sejak 2 Mac lalu, Israel menutup sepenuhnya laluan keluar masuk ke Gaza bagi bekalan makanan, perubatan dan bantuan kemanusiaan, sekali gus memburukkan lagi krisis kemanusiaan sedia ada di wilayah terkepung itu, menurut laporan kerajaan, badan hak asasi dan agensi antarabangsa.
Bagaimanapun, hanya ‘bantuan asas’ yang akan Israel benarkan baru-baru ini setelah penahanan hampir 3 bulan berkenaan. – Bernama/Anadolu
