Lebih 300 Belia berhimpun

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 MEI – Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) sebagai salah satu agensi yang memeduli belia di negara ini telah mengadakan Majlis Pertemuan Belia dan Kepimpinan Belia Bulan Ramadan di Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, hari ini.

Hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Lebih kurang 350 orang belia dan pemimpin belia daripada persatuan-persatuan belia, alumni program-program belia, sukarelawan belia, belia dan Muslimah masjid menghadiri majlis tersebut.

Atur cara majlis dimulakan dengan Forum ‘Ramadan: Penghayatan Sepanjang Tahun’ yang disampaikan oleh Penceramah Al-Minhaaj, Pengiran Norizzati binti Pengiran Haji Kasharan selaku panel I dan Pegawai Ugama, Pusat Dakwah Islamiah, Awang Mohammad Nasyith bin Superi selaku panel II.

Majlis diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam yang dipimpin oleh Imam Masjid Al-Muhtadee Billah, Haji Abu Samah Shukri bin Haji Mohd Hussein dan disusuli dengan berbuka puasa dan solat fardu Maghrib berjemaah.

Penganjuran majlis seumpamanya diharap akan dapat meningkatkan lagi penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan dan dapat menjadi belia yang beriman dan bertakwa dan dapat menggunakan keupayaan dan potensi yang ada pada mereka untuk membangun intelektual, sahsiah, roh dan jasmani dalam menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang di samping dapat meningkatkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan orang yang dipimpin (para belia).

Majlis tersebut juga merupakan salah satu inisiatif KKBS dalam menyatupadukan para belia dan kepimpinan belia selaras dengan misi mencanai masyarakat cemerlang yang beragama, berbudaya, penyayang, cerdas, bersatu padu, dinamik dan berwawasan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan semasa menghadiri Majlis Pertemuan Belia dan Kepimpinan Belia Bulan Ramadan di Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, kelmarin.