Ahad, 23 November 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 300 juta kanak-kanak alami penderaan seksual

    LONDON, 27 MEI – Lebih 300 juta kanak-kanak setahun jadi mangsa eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian, menurut anggaran global pertama mengenainya, yang diterbitkan oleh Institut Keselamatan Kanak-kanak Global Childlight, Universiti Edinburgh, hari ini.

    Penyelidik di universiti itu mendapati, satu daripada lapan kanak-kanak iaitu sekitar 302 juta orang muda, menjadi mangsa pengambilan tanpa persetujuan, perkongsian dan pendedahan kepada imej atau video seksual dalam tempoh 12 bulan yang lalu.

    Kesalahan merangkumi apa yang dipanggil ‘sextortion’ di mana pemangsa meminta wang daripada mangsa bagi memastikan imej peribadi tidak disebarkan atau penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta video dan gambar palsu.

    Masalah ini berlaku di seluruh dunia tetapi penyelidikan menunjukkan Amerika Syarikat (AS) adalah kawasan berisiko tinggi, dengan satu daripada sembilan lelaki di sana mengakui melakukan kesalahan dalam talian terhadap kanak-kanak pada satu ketika.

    Menurut Ketua Eksekutif Institut Keselamatan Kanak-kanak Global Childlight, Paul Stanfield, bahan penderaan kanak-kanak sangat berleluasa sehingga pertubuhan aktivis dan pihak berkuasa yang memantau menerima purata satu laporan setiap saat.

    “Ini adalah pandemik kesihatan global yang sudah tersembunyi terlalu lama. Ia berlaku di setiap negara, berkembang dengan pesat dan memerlukan tindak balas global,” katanya.

    Laporan itu diterbitkan selepas polis United Kingdom (UK) memberi amaran bulan lalu mengenai kumpulan penjenayah di Afrika Barat dan Asia Tenggara yang menyasarkan remaja Britain dalam penipuan sextortion dalam talian.

    Agensi Jenayah Kebangsaan Britain (NCA) mengeluarkan amaran kepada ratusan ribu guru supaya menyedari ancaman yang mungkin dihadapi oleh murid mereka. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda