PARIS, 16 OKT – Permainan video Minecraft, yang dimiliki oleh gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Microsoft, tempat pemain membina dunia maya, telah melepasi jualan 300 juta salinan, demikian diumumkan semalam, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai permainan terlaris pernah dicatat.
Dalam catatan di laman webnya, pembuat permainan itu berkata baru-baru ini ia ‘melepasi 300 juta salinan terjual’.
“Satu peristiwa penting yang tidak diimpikan oleh sesiapa pun ketika kami semua membina rumah pertama kami!,” katanya.
Secara perbandingan, Grand Theft Auto 5, firma gergasi lain dalam arena permainan video, telah menjual lebih 180 juta salinan sejak dikeluarkan pada 2013, menurut Take-Two Interactive, syarikat induk penerbit permainan itu, Rockstar Games.
Dilancarkan secara rasmi pada tahun 2011, Minecraft adalah cetusan idea Markus Persson dari Sweden – yang mengasaskan Mojang Studios untuk membangunkan projek itu.
Popular dalam kalangan beberapa demografi, permainan ini membolehkan pemain meneroka dunia yang tidak terhad, di mana mereka boleh mengumpulkan bahan yang kemudiannya boleh digunakan untuk membuat alatan atau membina struktur. – AFP


