Sunday, October 6, 2024
30.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 300 KG cendawan tiram kelabu dihasilkan orang asli

    GUA MUSANG, 9 OKT – Lebih 300 kilogram cendawan tiram kelabu berjaya dikutip dalam tempoh sebulan oleh masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq di Kampung Kuala Lah, di Gua Musang, Malaysia, selepas mula mengusahakan tanaman bongkah cendawan itu sejak dua bulan lepas.

    Warga emas Cedong Kapit, 61, berkata beliau kini tidak lagi perlu melakukan kerja berat seperti mencari hasil hutan kerana rutin hariannya beralih kepada penjagaan bongkah cendawan bersama rakan-rakan.

    Menurut Cedong projek penanaman cendawan itu dijalankan menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar (BMT) di bawah Kementerian Ekonomi Malaysia dengan seramai 10 peserta dipilih sebagai perintis di kampung berkenaan sekali gus menjana pendapatan tambahan.

    “Tanaman cendawan ini bermula pada 6 Ogos lepas dan kami berjaya mengutip hasil pertama tanaman pada 28 Ogos.

    “Setiap hari kami dapat mengutip 10 kilogram cendawan atau lebih 300 kilogram dalam tempoh sebulan. Cendawan ini akan dijual pada harga sekitar RM10 hingga RM12 bagi satu kilogram,” katanya kepada pemberita di kampung berkenaan baru-baru ini.

    Bagi Johar Keladi, 48, pula beliau banyak memperoleh ilmu pengetahuan baharu daripada tenaga pengajar sepanjang menyertai program tersebut.

    “Tugas saya dan rakan, Hassan Jusoh, 36, adalah memastikan bahan-bahan untuk dijadikan bongkah cendawan itu mengikut sukatan yang betul, selain bongkah perlu dikukus terlebih dahulu sebelum proses penanaman dilakukan.

    “Walaupun kita lihat aktiviti penanaman cendawan dalam bongkah ini mudah, terdapat beberapa kerja berat perlu dilakukan oleh kaum lelaki seperti menggaul habuk kayu bersama kapur dan dedak padi,” katanya.

    Siti Adis, 40, berharap agensi kerajaan akan terus berusaha membantu masyarakat Orang Asli di Malaysia untuk menjana pendapatan sampingan selain meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.

    “Terima kasih kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat atas peluang dan bantuan yang diberikan untuk merubah kehidupan saya sekeluarga,” katanya. – Bernama

    Cendawan tiram kelabu yang diusahakan masyarakat Orang Asli suku kaum Mendriq di Kampung Kuala Lah, di sini, sejak dua bulan lepas. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda