Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Nov – Pesta Perkahwinan edisi ke-7 yang berlangsung di Atrium Kompleks Membeli-belah Times Square, Berakas, baru-baru ini, telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan.
Lebih 300 orang mengunjungi Pesta Perkahwinan berkenaan, dengan rata-rata pengunjung terdiri daripada mereka yang merancang melangsungkan perkahwinan.
Pesta Perkahwinan yang berlangsung dari 1 hingga 5 November lalu itu mempamerkan dan mempromosikan produk-produk perkahwinan, seperti tempat melangsungkan perkahwinan.
Pesta berkenaan juga mempromosikan pelbagai pakej hotel dari beberapa buah hotel tempatan dan banyak lagi.
Pesta edisi ke-7 ini juga dimeriahkan dengan beberapa aktiviti seperti kuiz perkahwinan di mana para peserta diberikan beberapa soalan mengenai perkahwinan dan banyak lagi.
Aktiviti melipat sinjang juga mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peserta terutama sekali daripada bakal-bakal pengantin. Tidak ketinggalan juga demonstrasi mekap oleh Hazimah Beauty turut memeriahkan aktiviti.
Selain pesta berkenaan, Kompleks Membeli-belah Times Square juga akan mengadakan beberapa aktiviti menarik lain antaranya penyampaian hadiah cabutan bertuah pada 12 November ini dan Karnival Hobi edisi ke-3 pula akan berlangsung pada 24 hingga 26 November 2017.