Thursday, October 17, 2024
22.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 300 pemain dijangka sertai kejohanan golf Sabah

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Cabaran Golf Pelancongan Sabah 2024, yang bakal berlangsung dari 5 hingga 7 Disember depan, dijangka menarik penyertaan seramai 360 pemain golf dari seluruh Asia Tenggara, sekaligus menjanjikan saingan sengit kepada para peserta.

    Kejohanan anjuran Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) itu akan diadakan di tiga padang golf terkemuka di Sabah, iaitu Sutera Harbour Marina Golf & Country Club, Dalit Bay Golf & Country Club dan Nexus Golf Resort Karambunai.

    Pengurus Besar X Multisport Event, Ahmad Syuaib Nasir, ketika sesi taklimat mengenai kejohanan itu di Ibu Pejabat Pelancongan Malaysia, Hotel Antarabangsa Rizqun, di ibu negara, berkata pihaknya teruja untuk menganjurkan acara berprestij itu yang turut dijangka meningkatkan sektor pelancongan sukan di Sabah.

    “Kami berharap dapat menyambut pemain golf dari seluruh Asia Tenggara untuk merasai keindahan serta layanan mesra yang ditawarkan Sabah. Acara ini bukan sahaja mempromosikan sukan golf tetapi juga menonjolkan Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan yang unggul,” katanya.

    Pengarah Pelancongan Malaysia ke Brunei, Hazrina Azman, dalam ucapannya yakin bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi utama pemain golf dari Brunei, dengan catatan seramai 785,000 pelancong Brunei mengunjungi negara itu sehingga Ogos tahun ini. Beliau percaya angka itu turut disumbangkan oleh minat pemain golf Brunei yang sering berkunjung ke Malaysia untuk bermain golf.

    Hazrina Azman semasa menyampaikan ucapan pada sesi taklimat kejohanan tersebut. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    “Cabaran Golf Pelancongan Sabah 2024 ini diharap dapat menarik lebih ramai penyertaan dari Brunei dan membuka peluang untuk lebih banyak penganjuran kejohanan seumpamanya pada masa hadapan,” tambahnya.

    Malaysia mempunyai 148 padang golf di Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan 77 daripadanya terbuka kepada orang awam. Padang-padang golf tersebut menawarkan pengalaman unik yang memenuhi keperluan pemain profesional dan amatur, termasuk Direktori Golf e-Malaysia untuk memudahkan perancangan perjalanan golf.

    Kejohanan itu menawarkan hadiah terkumpul sehingga $30,000 termasuk hadiah bagi pukulan hole-in-one dan dijangka menarik penyertaan dari negara seperti Korea Selatan, China, Singapura, dan Filipina.

    Kehadiran beberapa selebriti golf terkemuka dari Korea Selatan, Thailand, Singapura dan Indonesia turut dijangka memeriahkan acara, menjadikan kejohanan itu sebagai satu sambutan meriah bagi sukan golf dan juga keindahan alam semula jadi Sabah.

    Turut hadir pada sesi taklimat ialah Setiausaha Kehormat Persatuan Golf Brunei Darussalam (BDGA), Dato Paduka Haji Mohd Hamid bin Haji Jafar; Naib Presiden Persatuan Golfian Senior Brunei Darussalam, Haji Muhammad Lufti Haji Muhamad Hanif, Setiausaha Kehormat Persatuan Golfian Senior Brunei Darussalam, Brigadier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Jofri bin Haji Abdullah dan Presiden Persatuan Golf Wanita Brunei (BLGA), Hajah Sarinah binti Haji Masri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda