BANGKOK, 8 MEI – Lebih 300 rakyat Myanmar melarikan diri ke Thailand untuk mendapatkan perlindungan selepas satu serangan terhadap tentera Myanmar oleh kumpulan bersenjata etnik, menurut kenyataan Thailand hari ini, hanya beberapa hari selepas junta melanjutkan gencatan senjata susulan gempa bumi.
Myanmar terus bergolak dalam konflik sivil sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, dengan junta berdepan tentangan daripada gabungan organisasi bersenjata etnik dan pasukan penentang pro-demokrasi.
Serangan kelmarin oleh Tentera Pembebasan Nasional Karen (KNLA) dan pertubuhan sekutunya, Pertubuhan Pertahanan Nasional Karen (KNDO), menyasarkan sebuah pangkalan tentera di negeri Kayin, kira-kira 2.5 kilometer dari sempadan Thailand, menurut tentera Thailand.
“Serangan itu melibatkan kepungan jarak dekat ke atas pangkalan tersebut serta penggunaan dron bersenjata untuk menjatuhkan bahan letupan secara berterusan sepanjang hari,” menurut satu kenyataan.
Menjelang hari ini, seramai 327 warga Myanmar telah menyeberangi sempadan ke Thailand dan kini berlindung di dua lokasi sementara, termasuk sebuah kuil, dengan pihak tentera dan polis Thailand menyediakan kawalan keselamatan serta bantuan kemanusiaan, menurut pegawai.
Pihak berkuasa Thailand telah mempertingkat rondaan di sepanjang sempadan di wilayah Tak, bagi mengelak apa yang digambarkan sebagai kemungkinan pencerobohan kedaulatan oleh pasukan bersenjata asing.
Kerajaan tentera Myanmar dan pelbagai kumpulan bersenjata yang menentangnya sebelum ini mengumumkan gencatan senjata selepas gempa bumi pada 28 Mac untuk membantu usaha bantuan dan pemulihan.
Namun, gencatan senjata itu berulang kali dilanggar melalui serangan udara oleh junta serta serangan balas daripada kumpulan bersenjata.
Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud berhampiran bandar Mandalay di tengah Myanmar telah meragut hampir 3,800 nyawa dan menyebabkan puluhan ribu kehilangan tempat tinggal. – AFP
