Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Lebih 3,000 orang peserta pelbagai peringkat umur sama-sama mengambil bahagian dan memeriahkan lagi acara walkaton sempena Sambutan Hari Guru ke-35, Tahun 2025 yang berlangsung Taman Mahkota Jubli Emas hari ini.
Hadir selaku Tetamu Kehormat dan seterusnya melancarkan pelepasan peserta walkaton adalah Menteri Pendidikan Yang Berhormat, Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh.
Acara walkaton sejauh tiga kilometer itu bermula dan berakhir di Taman Mahkota Jubli Emas di mana ia merupakan salah satu aktiviti riadah sukan bagi memeriahkan serta menyemarakkan Sambutan Hari Guru ke-35, Tahun 2025.


Acara bermatlamat untuk memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama serta masyarakat umum.
Selain itu, acara berkenaan juga diharap dapat menyumbang ke arah peningkatan kesejahteraan emosi, mental dan sosial para peserta, sekali gus menyokong hasrat negara ke arah Cara Hidup Sihat serta memeriahkan lagi suasana Program Bandarku Ceria.
Di samping acara walkaton, pada tahun ini juga diadakan Acara Sukan Ria Sempena Hari Keluarga Kebangsaan Tahun 2025, anjuran Jabatan Sekolah-Sekolah, Jabatan Pendidikan Swasta dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

Acara yang dibukakan kepada warga Kementerian Pendidikan dan orang awam itu telah menampilkan pelbagai aktiviti menarik serta pemeriksaan kesihatan. Aktiviti-aktiviti berkenaan dikendalikan oleh beberapa buah sekolah kerajaan dan swasta serta Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dengan tujuan untuk memberi manfaat kepada para peserta daripada segi kesihatan dan kesejahteraan
Penganjuran acara berkenaan adalah untuk mengeratkan dan meningkatkan hubungan kekeluargaan serta silaturahim dalam kalangan pemimpin sekolah, guru, ibu bapa, pelajar, kakitangan sekolah dan seluruh warga Kementerian Pendidikan.


Acara walkaton dianjurkan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan selaku Jawatankuasa Acara-Acara Sukan Bagi Sambutan Hari Guru Ke-35, Tahun 2025.
Turut hadir semasa acara walkaton tersebut adalah setiausaha-setiausaha tetap, naib-naib canselor, rektor, raes, timbalan-timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai, pemimpin-pemimpin sekolah, guru-guru dan kakitangan dari Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama.

