Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 31,000 dipindahkan akibat kebakaran hutan

    MONTREAL, 5 JUN – Lebih 31,000 orang telah diarahkan berpindah di seluruh Kanada kelmarin ketika anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran hutan yang marak dan mengancam pekan serta kampung, menurut pihak berkuasa.

    Lebih 200 kebakaran sedang berlaku di seluruh negara itu – separuh daripadanya dikategorikan sebagai tidak terkawal – yang setakat ini telah memusnahkan lebih 2.2 juta hektar kawasan.

    Wilayah Saskatchewan dan Manitoba paling terjejas, dengan kedua-duanya mengisytiharkan darurat kebakaran dalam beberapa hari kebelakangan ini.

    “Keadaannya sangat tidak baik ketika ini kerana orang ramai sangat takut, saya pun begitu,” kata Tareq Hosen Alin, pengusaha sebuah hotel di La Ronge, Saskatchewan, di mana kebakaran telah memusnahkan beberapa premis perniagaan.

    Pekan kecil yang mempunyai kira-kira 2,500 penduduk itu telah dikosongkan, namun Tareq Hosen Alin berkata dia kekal di situ untuk menempatkan petugas kecemasan dan anggota bomba.

    Seorang warga Kanada membawa anjing-anjingnya keluar sebentar untuk berehat di bawah kepulan asap tebal akibat kebakaran hutan di Lebuhraya 97 utara Sungai Buckinghorse, British Columbia, 30 Mei. – AP

    “Saya takut. Orang ramai kehilangan harta, wang dan impian mereka sekarang,” katanya kepada AFP.

    Pasukan bomba di seluruh negara telah ditempatkan dalam keadaan berjaga-jaga, manakala seramai 140 anggota bantuan dari Amerika Syarikat (AS) telah berada di Kanada untuk membantu usaha pemadaman.

    “Kami berhadapan dengan raksasa. Beberapa jam terakhir ini sangat huru-hara,” kata jabatan bomba La Ronge. Kawasan sekitar La Ronge kini berdepan beberapa kebakaran aktif.

    Salah satu daripadanya telah memusnahkan lebih 470,000 hektar dan masih tidak terkawal. Satu lagi kebakaran di sebelah barat – juga masih belum dikawal – telah membakar lebih 140,000 hektar. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda