KUALA LUMPUR, 19 DIS – Keadaan banjir bertambah buruk di beberapa negeri apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada lebih 34,000 orang tengah hari ini dengan Perak menjadi negeri terbaharu dilanda bencana itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas meninjau mangsa banjir di Klang, Selangor berkata setakat hari ini, bilangan mangsa di negeri itu meningkat daripada lebih 6,000 semalam, kepada lebih 15,000 yang ditempatkan di 108 PPS melibatkan lapan daerah.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran zon merah dan hujan lebat melibatkan lapan daerah di Selangor hari ini.
Di Pahang, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan mangsa banjir di negeri itu terus meningkat kepada lebih 14,143 orang daripada 2,758 keluarga yang ditempatkan di 155 PPS.
Pertambahan mangsa yang mendadak berbanding 5,189 orang pagi tadi disebabkan peningkatan mangsa di Temerloh yang menyaksikan 20 PPS dibuka pada tengah hari, berbanding dua pada sebelah pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar mengesahkan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam. – Bernama