Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 NOV- Seramai lebih 350 orang peserta memeriahkan King’s Baton Relay yang meliputi jalan-jalan di ibu negara sejauh 3.6 kilometer sempena sebahagian daripada persediaan menuju Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Negara Brunei Darussalam melalui Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) dengan sokongan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menganjurkan King’s Baton Relay yang berlangsung di Kawasan Lapang, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), hari ini.


Acara berkenaan dihadiri oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Pesuruhjaya Tinggi dan wakil-wakil di Negara Brunei Darussalam serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan jabatan-jabatan di bawahnya.
Acara didahului dengan sesi bergambar ramai bersama peserta relay, diikuti dengan senaman pemanasan badan dan pelepasan acara relay oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda.
Sebelum acara relay dimulakan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda menerima King’s Baton daripada Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.




Naib Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Haji Mohd Zamri kemudian mendahului relay dengan membawa baton berkenaan disertai oleh ketua-ketua perwakilan negara-negara Komanwel di Negara Brunei Darussalam menuju ke Tugu Menara Jam di Jalan Sultan sebagai titik penyerahan baton kepada kumpulan relay seterusnya.
Peserta-peserta relay merupakan atlet-atlet negara dalam sukan wushu, olahraga, karate, taekwondo, renang, boling padang, angkat berat, bola jaring, atlet para dan Orang Berkeperluan Khas, yang juga turut disertai oleh orang ramai yang terlibat.
King’s Baton Relay di Negara Brunei Darussalam telah menjadi satu sambutan yang memberi inspirasi kepada sukan, budaya, dan pemeliharaan alam sekitar.
Ia mencerminkan komitmen negara terhadap nilai Komanwel dan usaha berterusannya untuk melibatkan belia, menggalakkan gaya hidup sihat serta melindungi alam sekitar.
King’s Baton telah dilukis dan dihiasi oleh seorang artis tempatan iaitu Awang Abdul Ajihis bin Haji Terawih dari Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darussalam yang mempamerkan warisan seni negara dan budaya negara sebagai sebahagian daripada perjalanan baton antarabangsa.
Acara utama bagi Negara Brunei Darussalam, ialah King’s Baton Relay dan selepas relay berkenaan, King’s Baton akan dibawa ke Pantai Meragang, bagi memperingati hari pembersihan plastik pada 10 November.

