MELBOURNE, 14 JULAI – Latihan pertempuran perang terbesar pernah dilakukan di Australia, Eksesais Talisman Sabre, sedang dijalankan yang mana ia telah bermula pada 2005 sebagai latihan bersama dwitahunan antara Amerika Syarikat (AS) dan Australia.
Pada tahun ini, lebih 35,000 anggota tentera dari 19 buah negara, termasuk Kanada, Fiji, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Jepun, Belanda, New Zealand, Norway, Papua New Guinea, Filipina, Korea Selatan, Singapura, Thailand, Tonga dan United Kingdom, akan mengambil bahagian selama tiga minggu, kata Jabatan Pertahanan Australia kelmarin.
Manakala Malaysia dan Vietnam turut hadir sebagai pemerhati.
Latihan itu juga akan mengambil bahagian di Papua New Guinea, jiran terdekat Australia.
Ini adalah kali pertama Eksesais Talisman Sabre diadakan di luar Australia.
Pada masa yang sama kapal pengawasan China telah memantau latihan tentera laut di luar pantai Australia semasa empat Eksesais Talisman Sabre terakhir dan dijangka memantau latihan semasa, kata Menteri Industri Pertahanan, Pat Conroy.
“Tentera China telah memerhati latihan ini sejak 2017. Ia adalah sangat luar biasa bagi mereka untuk tidak memerhatikannya,” kata Conroy kepada Australian Broadcasting Corp.
“Kami akan menyesuaikan dengan sewajarnya. Kami jelas akan memerhati aktiviti mereka dan memantau kehadiran mereka di sekitar Australia, tetapi kami juga akan menyesuaikan cara kami menjalankan latihan tersebut,” tambah Conroy. – AP
