PARIS, 29 JULAI – Lebih empat bilion dos vaksin COVID-19 telah diberikan di seluruh dunia, lapan bulan selepas kempen vaksinasi bermula, menurut perangkaan AFP hari ini.
Kadar suntikan global telah menjadi perlahan: dos keempat bilion dicapai dalam 30 hari, sementara ia hanya mengambil masa 26 hari untuk mencecah tiga bilion dos. Dos satu dan dua bilion dicapai selepas kira-kira 140 dan 40 hari masing-masing.
Empat puluh peratus (1.6 bilion) daripada empat bilion dos telah pun diberikan di China. India (451 juta) dan Amerika Syarikat (343 juta) termasuk ketiga-tiga negara yang telah memberikan paling banyak suntikan.
Dari segi populasi di kalangan negara dengan lebih satu juta penduduk, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendahului: 168 suntikan dos pertama dan kedua diberikan setiap 100 penduduk, disusuli oleh Uruguay (137) dan Bahrain (134).
UAE hampir-hampir mencatat 70 peratus daripada populasi yang sudah lengkap vaksinasi sementara Uruguay dan Bahrain telah mencapai lebih 60 peratus.
Negara yang mendahului seterusnya adalah Qatar, Chile dan Kanada (129 suntikan setiap 100 penduduk), Israel (128), Singapura (125), United Kingdom, Mongolia dan Denmark (124) dan Belgium (121).
Negara berkenaan telah melengkapkan dua dos vaksin untuk lebih separuh daripada populasi mereka.
Menyusuli tidak jauh di belakang adalah China (111), Amerika Syarikat (104) dan Kesatuan Eropah (103). AS dan EU telah melengkapkan vaksinasi separuh daripada populasi mereka, sementara China tidak mengeluarkan maklumat ini.
Tiga negara masih belum memulakan vaksinasi mereka, Burundi, Eritrea dan Korea Utara. – AFP
