KAHERAH, 9 OGOS – Konflik yang semakin meningkat di Sudan telah mendorong lebih daripada 4 juta orang meninggalkan rumah mereka, termasuk lebih 884,000 telah melarikan diri ke negara-negara jiran, kata seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), kelmarin.
Pertempuran itu juga telah mencetuskan wabak penyakit dan peningkatan kekurangan zat makanan, menurut jurucakap agensi pelarian PBB, William Spindler.
Dari pertengahan Mei hingga pertengahan Julai, UNHCR mencatatkan lebih 300 kematian akibat campak dan kekurangan zat makanan, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, kata Spindler, bercakap kepada pemberita di Geneva.
Kenyataannya dibuat ketika pertempuran antara tentera Sudan dan pasukan separa tentera saingannya semakin sengit di bahagian timur ibu negara, Khartoum dan bandar berdekatan Omdurman.
Sudan dilanda huru-hara pada bulan April apabila ketegangan antara tentera, diketuai oleh Abdel Fattah Burhan, dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera, yang diketuai Mohammed Hamdan Dagalo, bertukar menjadi pertempuran terbuka di Khartoum dan tempat-tempat lain.

“Kekurangan kronik dalam kakitangan kesihatan serta serangan terha-dap kakitangan seperti yang dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia, telah menjejaskan kualiti penjagaan kesihatan di seluruh negara,” kata Spindler.
Jurucakap utama tentera, Nabil Abdallah berkata kelmarin pasukan tentera telah membunuh dan mence-derakan ratusan pejuang RSF dalam operasi yang sedang dijalankan di Omdurman. RSF tidak mengakui korban tersebut, sebaliknya berkata pejuangnya telah membunuh puluhan askar tentera dalam pertempuran jalanan di sana.
Namun The Associated Press tidak dapat mengesahkan mana-mana dakwaan tersebut. – AP

