Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 MAC – Sebanyak $4.5 juta lebih disediakan untuk projek industri ternakan bagi anggaran perbelanjaan 2023/2024 iaitu untuk menyediakan dan meningkatkan kemudahan infrastruktur asas seperti substesen, jalan raya, parit dan air bagi Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Merangking dan KKP Tanah Tuah, KKP Maraburong dan KKP Batang Mitus, yang akan diberi tumpuan dalam tahun ini.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin bagi menjawab soalan berkaitan perancangan pembangunan industri ternakan yang dibangkitkan oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pengiran Haji Isa bin Pengiran Haji Aliuddin semasa perbahasan MMN di Dewan Majlis, pagi tadi.
Terdahulu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa projek-projek yang ada pada masa ini terdapat beberapa projek baharu dan lama. Projek berkenaan berpandukan kepada keperluan daripada pengusaha-pengusaha.
“Ertinya sebelum kita melaksanakan projek itu memang akan dilakukan konsultasi bersama pihak-pihak pengusaha. Kami perlu tahu akan keperluan mereka, jika tidak sedemikian, begitu sukar juga untuk membuat spesifikasi tertentu,” ujarnya.