Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Nov – Negara Brunei Darussalam akan menjadi destinasi pilihan bagi para pengunjung dari dalam dan luar negara semasa Festival Disember Brunei 2017 di mana lebih daripada 40 acara menarik telah diatur untuk diadakan di keempat-empat daerah sepanjang Disember nanti.
Kegiatan dan acara yang diatur sepanjang festival itu merangkumi acara-acara kesenian dan kebudayaan, masakan, persembahan serta sukan dan rekreasi dengan lebih ramai penganjur acara tampil ke hadapan termasuk sokongan daripada kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara-negara sahabat di Brunei.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong ketika berucap semasa Pelancaran Laman Sesawang Brunei Events yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Festival Disember Brunei, jelas Yang Berhormat Dato lagi, turut mendapat sokongan yang hebat daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Perhubungan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Kesihatan, kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara-negara sahabat di Brunei serta rakan-rakan strategik dan penganjur acara. Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan penghargaan kepada semua sukarelawan yang telah memberikan sokongan untuk memastikan kelancaran logistik dan operasi pelbagai acara sepanjang festival itu.
Beliau juga menyatakan penghargaan kepada orang ramai atas sumbangan dan sokongan berterusan serta percaya bahawa festival tahunan itu, akan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai destinasi menarik kepada pelancong dalam dan luar negara untuk bercuti dan beriadah.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/2A-18p2-rubie_021117.jpg)
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/2B-10p1-rubie_021117.jpg)
Jelasnya lagi, usaha itu memberikan impak yang positif kepada ekonomi yang membolehkan negara untuk bergerak lebih dekat ke arah matlamat kepelbagaian yang digariskan dalam Wawasan 2035.
Ketika mengulas mengenai laman sesawang Brunei Events, Yang Berhormat Dato berkata, ia merupakan laman sesawang yang dibangunkan bagi perkhidmatan pelancongan untuk orang ramai serta untuk memberikan maklumat terkini kepada para pelancongan mengenai acara-acara terbaru yang diadakan di Brunei.
Beliau menjelaskan bahawa Brunei Events akan bekerja rapat dengan Lembaga Kemajuan Pelancongan Brunei dalam menyokong usaha mereka untuk mempromosikan produk-produk pelancongan dan acara-acara tempatan di mana ia akan menyumbang ke arah memperbaiki lagi kualiti perkhidmatan pelancongan dan meningkatkan kegiatan pelancongan di Brunei.
Yang Berhormat Dato juga menjelaskan bahawa laman sesawang Brunei Events bukan sahaja sebagai usaha untuk mempromosikan Festival Disember Brunei tetapi menyediakan platform bagi pelancongan dalam dan luar negara untuk mengakses maklumat mengenai acara-acara terkini serta akan datang di Brunei sepanjang tahun.
Maklumat itu, ulasnya, akan amat berguna bagi pelawat-pelawat luar negara untuk membolehkan mereka merancang cuti mereka dan semasa mereka berada di Brunei.
Festival Disember Brunei merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pelancongan Brunei dengan kerjasama pelbagai kementerian dan sektor awam serta pihak yang berkepentingan menggunakan pendekatan whole of nation.
Pada masa ini, terdapat lebih 40 acara diatur sepanjang festival sebulan berkenaan yang akan berlangsung di keempat-empat daerah antaranya Brunei Film Blitz, International Food Fair, Bandarku Ceria, Tutongku Ceria, KBku Ceria, Bangarku Ceria, Creative Arts Festival, Muslim Youth Camp, The Autofest, Alpha Race, Brunei E-Sports Tournament dan 1 Kampung 1 Produk.
Festival Disember Brunei bermatlamat untuk meningkatkan jumlah pelawat antarabangsa ke Negara Brunei Darussalam dengan mempromosikan dan menganjurkan pelbagai acara bertema bersama pihak-pihak yang berkepentingan, untuk membangunkan kalendar acara yang dapat menarik penyertaan daripada pelancong dalam dan luar negara untuk menyertai pelbagai kegiatan dan acara yang diadakan.
Selain itu, menggalakkan penduduk tempatan untuk melawat ke tempat-tempat menarik dalam negara bagi merangsang pertumbuhan pelancongan domestik dan menjadikan pelancongan dalam negara sebagai pilihan pertama percutian mereka serta menggalakkan penduduk tempat berbelanja dalam negara yang akan merangsang ekonomi domestik dan meningkatkan peluang-peluang perniagaan bagi perusahaan kecil dan sederhana negara.