ISTANBUL, 18 OGOS – Lebih 40 orang dilaporkan hilang selepas sebuah bot yang membawa kira-kira 50 penumpang terbalik di negeri Sokoto, barat laut Nigeria, lapor agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan agensi kecemasan negara itu kelmarin.
“Kira-kira 10 orang berjaya diselamatkan, manakala lebih 40 lagi penumpang masih hilang,” kata Agensi Pengurusan Kecemasan Negara (NEMA) dalam satu kenyataan. Bot berkenaan dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Pasar Goronyo sebelum terbalik.
Ketua Pengarah NEMA, Zubaida Umar berkata agensi itu melancarkan tindak balas segera sebaik menerima laporan awal mengenai kejadian.
Pejabat operasi NEMA di Sokoto dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan perkhidmatan kecemasan memperhebatkan usaha mencari dan menyelamat bagi mengesan penumpang yang masih hilang. – Bernama


