Sunday, July 13, 2025
32.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 40 juta kehilangan kerja di AS

    WASHINGTON, 12 JUN – Pengurangan pekerja berpunca daripada pandemik koronavirus telah mencecah 44.2 juta di Amerika Syarikat (AS) walaupun ketika perniagaan cuba dibuka semula, dan penganalisis mengingatkan kesan berterusan ke atas ekonomi terbesar dunia tatkala COVID-19 tidak menunjukkan tanda-tanda berkurangan.

    Saham Wall Street merosot semalam dalam prestasi paling teruk mereka sejak Mac, menterbalik momentum terbaharu tatkala peniaga bimbang dengan kemunculan semula kes virus di beberapa kawasan negara dan data Jabatan Pekerja baharu menunjukkan 1.54 juta pekerja sedang mengisi fail permohonan untuk faedah pengangguran pada minggu lalu.

    Pengurangan pekerja besar-besaran telah menjadi rutin sejak penutupan untuk menghalang koronavirus daripada menular pada pertengahan Mac, mencecah kemuncak pada akhir bulan dan merosot sejak itu.

    Sesetengah pekerja sudah kembali bekerja tatkala negeri dibuka semula, tetapi jumlah untuk minggu berakhir 6 Jun masih jauh melebihi mana-mana angka yang dilihat semasa krisis kewangan global pada 2008, walaupun ia berkurangan 355,000 daripada minggu sebelumnya.

    Rubeela Farooqi daripada Ekonomi Frekuensi Tinggi berkata data menunjukkan ekonomi AS jelasnya belum kembali kepada normal.

    “Negeri dan perniagaan telah dibuka semula, namun aktiviti masih terhad, yang mungkin mengakibat pengurangan berterusan pada minggu-minggu akan datang,” katanya dalam satu analisis.

    Data Jabatan Pekerja menunjukkan kira-kira 20.9 juta orang menerima bayaran pengangguran pada minggu berakhir 30 Mei, berkurangan daripada 21.3 juta pada minggu sebelumnya, menandakan orang sama ada sudah kembali bekerja atau tuntutan mereka ditolak.

    Laporan adalah sejajar dengan kadar pengangguran Mei, yang merosot kepada 13.3 peratus daripada 14.7 peratus pada April tatkala ekonomi AS menambah 2.5 juta pekerjaan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda