CANBERRA, 6 OKT – Lebih 40 peratus rakyat Australia yang menjadi sasaran jenayah siber pada 2024 mengalami pelbagai jenis serangan, menurut satu laporan baharu kerajaan.
Laporan Jenayah Siber di Australia 2024, yang diterbitkan hari ini oleh Institut Kriminologi Australia (AIC), mendapati bahawa 42.1 peratus daripada semua mangsa mengalami lebih daripada satu jenis jenayah siber dalam tahun yang sama.
Laporan itu meneliti empat kategori utama jenayah siber iaitu penyalahgunaan dan gangguan dalam talian, perisian hasad, jenayah dan penyalahgunaan identiti, serta penipuan dan skim penipuan dan mendapati 47.4 peratus rakyat Australia melaporkan menjadi mangsa sekurang-kurangnya satu jenayah siber pada 2024.
Penyalahgunaan dan gangguan dalam talian adalah jenis jenayah siber yang paling biasa, menjejaskan 26.8 peratus daripada 10,335 rakyat Australia yang menyertai tinjauan AIC, diikuti oleh jenayah dan penyalahgunaan identiti.
Dalam kalangan semua mangsa, 6.6 peratus menjadi mangsa kepada keempat-empat jenis jenayah siber itu.
Komander Siber Polis Persekutuan Australia (AFP), Graeme Marshall berkata laporan ini menunjukkan bahawa pencegahan jenayah siber perlu menjadi amalan harian rakyat Australia dan bukan sekadar usaha sekali-sekala. – Bernama


