Friday, March 21, 2025
22.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 40 maut pesawat tentera Filipina terhempas

    COTABATO, FILIPINA, 4 JULAI – Sekurang-kurangnya 45 orang terbunuh dan belasan lagi cedera hari ini ketika sebuah pesawat tentera Filipina yang membawa tentera terhempas dan terbakar selepas gagal mendarat di selatan negara itu, kata para pegawai.

    Hampir 100 orang, kebanyakan merupakan lulusan tentera baru-baru ini, berada di dalam pesawat pengangkutan C-130 Hercules yang cuba mendarat di pulau Jolo di wilayah Sulu kira-kira tengah hari tadi.

    Sebilangan tentera dilihat melompat keluar dari pesawat sebelum pesawat itu terhempas dan meletup, kata komander Pasukan Petugas Bersama-Sulu, Mejar Jeneral William Gonzales.

    Insiden tersebut merupakan salah satu kemalangan penerbangan tentera yang paling banyak meragut nyawa di negara ini.

    “Ia merupakan hari yang menyedihkan tetapi kita harus tetap berharap,” kata Gonzales dalam satu kenyataan.

    “Kami meminta semua penduduk di negara ini untuk mendoakan mereka yang cedera dan yang terkorban dalam tragedi ini.”

    Pencarian masih dijalankan untuk para penumpang yang hilang.

    Gambar-gambar nahas berkenaan yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Bersama-Sulu menunjukkan kepulan asap dari bahagian hujung pesawat dan badan pesawat yang rosak tersadai berhampiran pokok kelapa.

    Panglima Angkatan Bersenjata Jeneral Cirilito Sobejana berkata pesawat itu membawa pasukan dari Cagayan de Oro di pulau selatan Mindanao ketika kejadian itu berlaku. Pesawat empat enjin itu terhempas berhampiran sebuah permukaan terbuka di kawasan berpendudukan sedikit, kata Leftenan Pertama Jerrica Angela Manongdo. – AFP

    Gambar yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Bersama-Sulu menunjukkan anggota penyelamat ketika melakukan kerja-kerja pencarian mangsa di kawasan di mana pesawat berkenaan terhempas, kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda