Thursday, December 26, 2024
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 40 monyet terlepas dari pusat penyelidikan AS

    WASHINGTON, 8 NOV – Lebih 40 ekor monyet dilaporkan berkeliaran kelmarin di sebuah bandar kecil di Amerika Syarikat selepas terlepas dari sebuah pusat penyelidikan, dengan pihak berkuasa mengingatkan para penduduk agar menutup pintu dan tingkap rumah masing-masing.

    Monyet jenis rhesus macaque tersebut, yang digambarkan sebagai ‘mudah cemas’ oleh pihak polis Yemassee, Carolina Selatan, dilaporkan terlepas dari tempat kurungan sehari sebelumnya di sebuah pusat penyelidikan milik Alpha Genesis, yang khusus dalam penyelidikan bioperubatan menggunakan haiwan primat.

    Pasukan mencari telah dikerahkan untuk mengesan haiwan itu, dengan cara ‘mengumpannya menggunakan makanan,’ menurut kenyataan polis tempatan di media sosial.

    “Para penduduk dinasihatkan agar memastikan pintu dan tingkap ditutup rapat serta melaporkan sebarang penemuan segera dengan menghubungi talian 911. Jangan cuba mendekati haiwan-haiwan ini dalam apa jua keadaan,” tambah kenyataan tersebut.

    Pihak polis memaklumkan bahawa kesemua 43 haiwan primat itu adalah anak monyet betina dengan berat sekitar tiga kilogram dan tidak pernah digunakan untuk ujian.

    “Seorang jurucakap Alpha Genesis mengesahkan bahawa haiwan-haiwan ini terlalu muda untuk membawa sebarang penyakit,” menurut kenyataan tersebut.

    Ketua Pegawai Eksekutif Alpha Genesis, Greg Westergaard, menyatakan bahawa insiden itu adalah ‘mengecewakan’, sambil memberitahu CBS News bahawa beliau berharap haiwan-haiwan primat tersebut akan kembali dengan selamat.

    Beliau turut memaklumkan bahawa monyet-monyet tersebut terlepas setelah seorang penjaga gagal mengunci pintu kurungan haiwan itu dengan betul.

    “Ia ibarat permainan ikut pemimpin. Bila seekor pergi, yang lain turut ikut,” kata Westergaard. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda