Lebih 40% penduduk dewasa Sabah terima vaksin

KOTA KINABALU, 10 OGOS – Lebih 1.12 juta atau 40.8 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima suntikan pertama vaksin COVID-19 sehingga semalam, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata 485,880 atau 17.6 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin tersebut, dan usaha sedang dilakukan bagi memastikan Sabah mencapai imuniti kelompok dengan 80 peratus sudah divaksin menjelang akhir tahun ini.

Katanya usaha kini terus dibuat kerajaan untuk menambah kapasiti dan keupayaan pemberian suntikan vaksin COVID-19 melalui Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), dan dalam masa sama memastikan bekalan vaksin sentiasa mencukupi.

“Dalam keadaan virus COVID-19 sudah berada di tengah-tengah masyarakat, kita sedang mengejar masa untuk memberi vaksin kepada setiap orang yang layak untuk disuntik dengan kadar segera.

“Ini bermakna kes baharu akan terus mencatat angka yang tinggi sehingga lebih ramai penduduk memperoleh vaksin. Kes hanya akan mula menurun apabila kita berjaya memberi suntikan vaksin kepada penduduk pada satu tahap peratusan yang signifikan,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini. – Bernama