Saturday, May 10, 2025
24.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 40 petani terbunuh di Nigeria

    MAIDURI, 29 NOV – Pejuang Boko Haram telah membunuh sekurang-kurangnya 43 orang petani dan mencederakan enam yang lain ketika mereka bekerja di sawah berhampiran bandar berkenaan, semalam.

    Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari mengutuk serangan berkenaan dan menyifatkan negara sangat kesal dengan serangan yang tidak berperikemanusiaan itu.

    Sementara itu, kumpulan militia tempatan yang tidak sehaluan dengan Boko Haram berkata, penyerang dilaporkan mengikat petani dan kemudian membunuh mereka di perkampungan Koshobe.

    “Kami menemui 43 mayat yang telah dibunuh kumpulan itu, bersama enam pekerja yang cedera parah.

    “Memang tidak dapat dinafikan serangan dilakukan kumpulan Boko Haram yang bermaharajalela di sini dan sering menyerang petani,” kata pemimpin militia tempatan, Babakura Kolo yang membantu mereka yang terselamat dalam serangan itu.

    Saudara mara mangsa ketika menghadiri pengebumian 43 petani di Zabarmari, kira-kira 20km dari Maiduguri, Nigeria, kelmarin selepas mangsa dibunuh oleh kumpulan Boko Haram berhampiran kampung Koshobe. – AFP

    Kesemua mangsa adalah dari Sokoto, terletak di barat daya Nigeria, kira-kira 1,000 kilometer dari Maiduri yang datang ke bandar berkenaan untuk mencari pekerjaan.

    “Ada 60 pekerja yang bekerja secara kontrak untuk menuai padi di sawah di sini, 43 telah terkorban dan enam orang cedera,” kata seorang lagi anggota militia terbabit, Ibrahim Liman.

    Beliau turut mendakwa, lapan lagi pekerja hilang dipercayai diculik oleh kumpulan Boko Haram.

    Penduduk tempatan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat, Mala Bunu berkata, semua mayat dibawa ke perkampungan Zabarmari, dua kilometer dari lokasi kejadian untuk dikebumikan. Kumpulan Boko Haram dan Negara Islam Wilayah Afrika Barat (ISWAP) dilaporkan mensasarkan pembalak, pengembala dan nelayan kerana mendakwa mereka menjadi pengintip serta menyalurkan maklumat kepada tentera dan militia tempatan untuk menentang mereka.

    Dianggarkan hampir 36,000 penduduk dibunuh kumpulan terbabit dan dipercayai turut merebak ke negara jiran terutamanya Niger, Chad dan Cameroon. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda