Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 40 sertai Bengkel Kerjaya

    Oleh Syahmi Hassan – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pejabat Pembangunan Kerjaya dan Jaringan Industri (OCeAN), kelmarin, telah mengadakan Bengkel Kerjaya: Persiapan Temu Duga.

    Seramai 41 orang peserta terdiri daripada alumni, mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir UNISSA mengikuti bengkel berkenaan yang diadakan di Dewan Serba guna Kolej Kediaman, UNISSA, Gadong.

    Ia diadakan dalam tiga sesi di mana sesi pertama dimulakan dengan taklimat persiapan temu duga yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), JobCentre Brunei (JCB), Awang Mohd Khairul Hasbullah bin Haji Anuar.

    Beliau antara lain mengongsikan tip-tip sebelum menghadiri temu duga, dari segi penampilan dan ketersediaan menjawab soalan yang lazim diberikan.

    Manakala sesi kedua melibatkan sesi praktikal temu duga dengan memberikan para peserta peluang untuk berbincang sesama mereka dan kemudiannya setiap kumpulan cuba menjawab soalan-soalan yang diajukan secara langsung. Sesi ketiga membukakan ruang kepada para peserta untuk mendaftar akaun di JCB.

    Tujuan bengkel tersebut ialah untuk membantu memudahkan para peserta dalam persediaan temu duga yang efektif, dengan memberikan beberapa tip tatacara menjawab soalan temu duga.

    Bengkel diakhiri dengan penyampaian cenderahati dan sijil penghargaan kepada wakil fasilitator JCB yang disampaikan oleh Ketua Pejabat OCeAN, UNISSA, Dr Zurairatul Zakiah binti DSS Haji Rajid.

    Hasil bengkel berkenaan diharapkan dapat memberikan manfaat dan faedah kepada para alumni dan mahasiswa serta mahasiswi tahun akhir UNISSA bagi memantapkan persediaan mereka dalam pencarian kerja.

    Para perserta yang hadir pada bengkel tersebut bergambar ramai di Dewan Serba guna Kolej Kediaman, UNISSA, Gadong. – Gambar serahan UNISSA
    Awang Mohd Khairul Hasbullah ketika menyampaikan taklimat persediaan temu duga kepada para peserta. – Gambar serahan UNISSA

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda