BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Lebih 40 orang terdiri daripada warga Kementerian Pendidikan, kakitangan dan pelajar-pelajar tingkatan enam bawah Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah mengikuti Program Bakti Pelajar ke Sekolah Rendah (SR) Datu Maharaja Setia Dian (DMSD) Sukang, Ulu Belait untuk menyerahkan sumbangan dan melakukan kerja amal, baru-baru ini.
Kedatangan rombongan yang diketuai Pemangku Pengarah Sekolah-sekolah, Awang Zaman bin Haji Gapar telah dialu-alukan oleh Guru Besar Sekolah Rendah DMSD, Dayang Rosnah binti Datu Maharaja Setia Haji Muhd Simpok dan Pemangku Penghulu Mukim Sukang, Haji Mohd Noh bin Datu Maharaja Setia Dian.
Menurut kenyataan dari Kementerian Pendidikan hari ini, acara itu telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan ucapan alu-aluan daripada Dayang Rosnah dan Haji Mohd Noh yang diselajurkan dengan ucapan ketua rombongan.
Awang Zaman kemudian menyerahkan barang-barang sumbangan daripada kakitangan Jabatan Sekolah-sekolah, pensyarah dan pelajar Maktab Duli serta sumbangan daripada Nazmi Textile Mall kepada guru besar dan pelajar sekolah berkenaan.
Barang-barang sumbangan yang diserahkan berupa buku, alat tulis dan alat peralatan asrama seperti rak buku, baju, cadar dan televisyen untuk kegunaan pelajar yang tinggal di Asrama Jannatul-Firdaus, Sekolah Rendah DMSD Sukang.



Seterusnya, rombongan pelajar sukarelawan kemudian bergerak ke Asrama Jannatul-Firdaus untuk melakukan aktiviti-aktiviti pembaikan dan membisaikan asrama tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, program berkenaan adalah salah satu program yang diungkayahkan Bahagian Kokurikulum Maktab Duli untuk menambah baik dan menceriakan lagi bilik-bilik asrama pelajar.
Pada masa yang sama program berkenaan memberi kesedaran kepada para pelajar bahawa kerja-kerja sukarelawan seperti tolong-menolong dan bergotong-royong merupakan nilai-nilai keprihatinan yang murni dan amat penting dalam kehidupan seharian.
Di samping itu, ia juga memberi peluang dan kesempatan untuk para pensyarah dan pelajar maktab berkenaan menimba pengalaman tentang suasana persekolahan di kampung yang jauh dari suasana bandar.
Program tersebut juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan para pensyarah dan pelajar maktab dengan guru-guru dan pelajar di Sekolah Rendah DMSD Sukang.