Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – AKIF Media Marketing & Event dengan kerjasama Persekutuan Olahraga Brunei Darussalam (BDAF) telah mengadakan sesi klinik larian bersempena acara maya (virtual) Larian Harapan 2020, yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas, hari ini.
Lebih 40 orang telah mengikuti sesi klinik larian yang disampaikan oleh pelatih larian dari Jabatan Belia dan Sukan, Younes Ammouta.
Presiden BDAF, Mejar (B) Awang Talip bin Haji Tahir dalam ucapannya menekankan, untuk menjadi atlet jarak juah yang mampan, terdapat lima komponen yang penting iaitu kekuatan, stamina, suppleness, kelajuan dan kemahiran.
Di samping itu juga, tambah beliau, setiap atlet perlu mempunyai kekuatan disiplin diri, imej dan keperibadian.
Manakala itu, Pengurus Projek, AKIF Media Marketing & Event, Awangku Danny bin Pengiran Tajuddin pula berkata, “Pembangunan program olahraga jarak jauh amat penting disemai sejak awal lagi terutamanya di peringkat sekolah rendah.”
Dengan adanya larian jarak jauh seperti Borneo Run 2019, Brunei Run 2020 dan Development Run 2020 yang dianjurkan pada awal tahun ini, ia membuktikan penyertaan atlet jarak jauh sangat menggalakkan dan minat terhadap acara sukan tersebut semakin berkembang khususnya di Negara Brunei Darussalam.