TEGUCIGALPA, 21 JUN – Kira-kira 41 orang terkorban semalam di penjara wanita di Honduras, di mana pertempuran ganas antara kumpulan saingan mencetuskan kebakaran sebahagian daripada kemudahan itu, kata polis.
Keganasan itu berlaku di penjara tersebut yang terletak kira-kira 25 kilometer di utara ibu negara Tegucigalpa, menurut jurucakap polis Edgardo Barahona, yang menyatakan jumlah kematian awal adalah 41 wanita. Tidak jelas sama ada mereka semua adalah banduan.
Lima wanita lain cedera dan dibawa ke hospital, tambah Barahona. Menurut Delma Ordonez, yang mewakili ahli keluarga banduan, ahli kumpulan samseng telah memasuki sel kumpulan saingan dan membakarnya. – AFP
