Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 400 artis sertai boikot ‘No Music for Genocide’

    BAITULMUQADDIS/ISTANBUL, 19 SEPT – Lebih 400 penyanyi dan artis dari seluruh dunia menyertai boikot budaya yang bertujuan menarik karya muzik mereka daripada platform penstriman digital Israel sebagai protes terhadap genosid berterusan di Semenanjung Gaza, lapor agensi Anadolu.
     
    Gambar rakyat Palestin, khususnya kanak-kanak yang menderita kelaparan akibat serangan berterusan Israel telah mencetuskan kemarahan global yang semakin meningkat serta gesaan untuk bertindak.
     
    Menurut akhbar Haaretz, inisiatif itu telah dilancarkan dengan slogan No Music for Genocide, menyeru para artis untuk menarik keluar karya mereka daripada platform Israel sebagai protes.
     
    Antara yang menandatangani termasuk kumpulan terkenal Britain, Massive Attack; kumpulan Scotland, Primal Scream; band indie Amerika, Syarikat Japanese Breakfast; penyanyi-penulis lagu Amerika Syarikat, Carole King; bintang pop Jepun, Rina Sawayama; serta seniman Denmark, MO.
     
    Dalam kenyataan, penganjur kempen berkata boikot itu bertujuan memberi tekanan kepada syarikat rakaman utama, termasuk Sony, Universal dan Warner, supaya mengikut langkah yang pernah diambil selepas pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dengan mengenakan tindakan serupa terhadap Israel.
     
    “Budaya tidak dapat menghentikan bom dengan sendirinya. Tetapi ia boleh menolak penindasan politik, mengubah pendapat umum ke arah keadilan dan menolak usaha ‘art-washing’ serta normalisasi oleh mana-mana syarikat atau negara yang melakukan jenayah terhadap kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
     
    Boikot tersebut adalah sebahagian daripada gelombang protes budaya, sukan dan seni di seluruh dunia terhadap serangan berterusan Israel di Gaza. – Bernama
     
    Rakyat Palestin meninggalkan bandar Gaza dengan berjalan kaki dan menaiki kenderaan sambil membawa barangan mereka pada 18 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda