Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 400 atlet karate bersaing dalam Kejohanan SEAKF

    Oleh James Kon –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Lebih 400 atlet karate dari negara-negara Asia Tenggara berada di negara ini untuk bersaing dalam Kejohanan Karate Persekutuan Karate Asia Tenggara (SEAKF) ke-12 yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah selama tiga hari bermula hari ini sehingga 19 Jun.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan kejohanan yang dihoskan oleh Persekutuan Karate Brunei Darussalam (BRUKAF) buat julung kalinya itu ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Pertandingan termasuk kedua-dua acara Kata dan Kumite, merentasi pelbagai peringkat umur dan kategori antaranya Kadet 14 hingga 15 tahun, Junior 16-17 tahun, Bawah 21 dan Senior.

    Majlis turut menyaksikan laporan jawatankuasa pembukaan disampaikan oleh naib pengerusi, Hajah Noorul Sulastrie binti Haji Sabtu diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Presiden Eksekutif BRUKAF, Pengiran Haji Yura Kesteria bin Pengiran Setia Negara (Dr) Pengiran Haji Mohammad Yusof.

    Presiden SEAKF, Vu Son Ha turut menyampaikan ucapan perasmian.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda hadir selaku tetamu kehormat pada acara itu. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Atlet karate Brunei, Awang Mohd Sufizan bin Mohd Sofian kemudian mengetuai acara mengangkat sumpah atlet diikuti dengan sumpah pengadil yang dibacakan oleh Haji Sayed Jefferydean bin Haji Sayed Mohammed.

    Selain itu, acara itu akan menampilkan gabungan dinamik karate tradisional, persembahan kebudayaan dan tarikan mesra keluarga yang dibukakan untuk kunjungan orang ramai dengan kemasukan adalah percuma.

    Matlamat utama SEAKF adalah untuk mempromosikan dan membangunkan sukan karate di rantau Asia Tenggara. Ini termasuk menganjurkan pertandingan serantau seperti Kejohanan SEAKF, serta memupuk kerjasama dan komunikasi di kalangan persekutuan ahli.

    Selain itu, SEAKF berhasrat untuk meningkatkan populariti karate dan menyokong pertumbuhannya di rantau ini.

    Selain perlawanan, acara tersebut juga menampilkan karnival vendor di kawasan parkir stadium dengan lebih 100 buah gerai tempatan yang menawarkan makanan, minuman, hiburan dan aktiviti untuk semua peringkat umur yang dibuka setiap hari dari 8 pagi hingga 10 malam, sehingga 19 Jun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda