Lebih 400 barangan peribadi Wu Chun, isteri dijual

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Lebih 400 barangan peribadi daripada almari Wu Chun, bintang antarabangsa berkelahiran Brunei, dan isterinya, Lim Lee Yen dijual pada acara jualan amal yang diadakan di tingkat bawah Fitness Zone.

Acara amal yang bermula kelmarin hingga awal bulan depan itu akan menyaksikan 100 peratus hasil jualan diberikan kepada La Vida, syarikat bukan berasaskan keuntungan tempatan untuk membantu dan memperkasa individu-individu dan keluarga terutamanya mereka yang berkeperluan khas serta mereka yang memerlukan dalam masyarakat.

Ini merupakan kali pertama Wu Chun menjual barangan peribadinya dan 95 peratus daripadanya masih baharu dan daripada jenama terkenal.

Ketika ditemu bual, Wu Chun berkata, beliau sebenarnya mahu terlibat dalam aktiviti seumpamanya sejak tiga tahun lalu.

“Saya mempunyai banyak barang di rumah seperti pakaian, kasut dan lain-lain. Saya berfikir untuk mengadakan jualan seumpamanya sama ada di luar negara atau di Brunei dan oleh sebab saya tidak dapat keluar negara disebabkan COVID-19, saya cuba mengadakannya di Brunei Darussalam,” ujarnya.

Wu Chun memegang salah satu jersi Jordan edisi terhad bagi jualan lelong senyap.

Selepas hari pertama, beliau berkata, respons yang diterima adalah sangat baik dan mereka telah berjaya mengumpul $5,500 pada hari pertama.

“Saya anggarkan bahawa nilai keseluruhan koleksi ini boleh dijual bagi lebih $30,000,” tambah beliau.

Salah satu barangan paling berharga ialah kasut Nike Air Jordan Spizike yang ditempah khas oleh Wu Chun sendiri dan dilelong secara senyap. Wu mempunyai 10 barangan edisi terhad yang dipilih khas bagi lelongan berkenaan.

Mengulas sebab beliau bekerjasama dengan La Vida, Wu Chun berkata, “Sebelum acara ini, saya telah bekerjasama dengan La Vida dalam satu acara amal. Saya rasa mereka sangat aktif dan konsisten dalam menjalankan aktiviti-aktiviti untuk membantu serta melatih masyarakat tempatan yang berkeperluan khas”.

Beliau menambah, jika respons terhadap aktiviti berkenaan sangat baik dan berjaya, beliau berhasrat untuk melakukannya lagi pada masa depan.

“Tetapi bagi pakaian yang telah saya pakai semasa acara-acara atau aktiviti promosi di luar negara. Saya kini mempunyai terlalu banyak pakaian di rumah,” ujar beliau.

Berikutan pandemik COVID-19, Wu Chun tidak dapat pergi ke luar negara dan terpaksa menangguhkan banyak aktivitinya di luar negara.

“Saya tidak mendapat kebenaran untuk ke luar negara jadi banyak aktiviti promosi terpaksa ditangguhkan. Bagaimanapun, saya dapat merakam tiga babak promosi di Brunei
Darussalam dan digunakan dalam iklan TV di China,” kongsi beliau.