Oleh Siti Nur Wasimah S.
BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Julai – Lebih 400 orang pelajar dari 16 buah sekolah menengah telah menghadiri Hari Terbuka Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) yang berlangsung di auditorium maktab berkenaan, hari ini.
Turut hadir majlis pada hari terbuka itu ialah Pengetua Maktab Duli, Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim bersama ibu bapa dan penjaga para pelajar.
Timbalan Pengetua Akademik, Dayang Sahrulbariah binti Haji Sulaiman dalam ucapannya menjelaskan hari terbuka berkenaan bertujuan untuk menyediakan sebuah platform dan memberikan peluang kepada bakal-bakal pelajar yang ingin meneruskan pengajian mereka ke Peringkat ‘A’.

Ia juga memberikan peluang kepada para pelajar untuk bersua muka dengan ketua-ketua jabatan dan guru-guru yang menawarkan pelbagai subjek agar para pelajar akan dapat memahami lebih mendalam tentang pengajian di Maktab Duli.
Acara telah diisikan dengan pelbagai taklimat mengenai pentadbiran Maktab Duli, cara-cara kemasukan, taklimat subjek-subjek, lawatan maktab dan sebagainya.
Antara sekolah-sekolah yang menyertai acara itu ialah Sekolah Menengah Chung Hwa, Sekolah Menengah Katok, Sekolah Seri Mulia Sarjana (Menengah), Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Menengah Menglait dan Sekolah Menengah Awang Semaun.