Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Para graduan dan pencari kerja berpeluang untuk mengetahui lebih terperinci keperluan dan peluang-peluang pekerjaan daripada seramai 54 peserta pameran yang menawarkan kira-kira 472 peluang pekerjaan semasa Pameran Kerjaya UBD 2023 yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD) bermula hari ini hingga 14 Julai.
Pameran yang dirasmikan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad itu dianjurkan oleh pusat kerja bagi pelajar-pelajar UBD, Centre of Networking, Employment and Career Training (CoNECT) dan dibuka untuk kunjungan para graduan serta pencari-pencari kerja.
Dengan membawa tema Find Your Niche, pameran itu mencerminkan peluang bagi para graduan untuk mengenal pasti kepakaran mereka antara beberapa industri menerusi pelbagai peluang serta mengenali bidang di mana mereka boleh mencapai kecemerlangan dan bergerak maju ke arah kejayaan kerjaya.
Dalam kata alu-aluannya, Pengerusi Bersama Pesta Kerjaya UBD, Dayang Nur Nasuha Amalina binti Tajuddin menyatakan bahawa pameran kerjaya berkenaan menawarkan prospek yang berguna kepada para pelajar dan alumni UBD untuk meneroka ekosistem perniagaan, menubuhkan rangkaian dengan bakal-bakal majikan serta memberikan kesan yang positif kepada wakil-wakil daripada pelbagai industri.
Pameran itu, tambahnya, menawarkan lebih daripada 450 peluang pekerjaan secara sepenuh masa, separuh masa dan penempatan pekerjaan di mana beliau mengalu-alukan pelajar, alumni dan pencari kerja untuk memanfaatkan peluang yang disediakan semasa pameran tersebut.

Penganjuran pameran itu juga adalah selaras dengan matlamat utamanya iaitu bagi menyediakan bantuan berterusan kepada para pelajar dan graduan dalam perjalanan pembangunan kerjaya mereka dengan menghalusi lagi kemahiran lembut mereka sambil membolehkan mereka untuk mendapatkan pendedahan signifikan melalui penyertaan dalam pameran berkenaan.
Pada masa yang sama, pameran itu juga mengembangkan skopnya dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan latihan amali bagi meningkatkan kebolehpasaran para pelajar dan graduan dalam pasaran pekerjaan yang kompetitif masa kini.
Pameran yang mengetengahkan peserta-peserta daripada sektor swasta dan awam itu memberikan peluang kepada graduan dan pelajar institusi pengajian tinggi untuk didedahkan kepada peluang-peluang pekerjaan dan latihan amali yang menarik, memperoleh kesedaran mengenai organisasi berkenaan serta meningkatkan kemahiran penjanaan rangkaian mereka.
Para pengunjung boleh mendapatkan tip temu duga dan pemeriksaan CV yang dikendalikan oleh CoNECT sebagai persiapan untuk sesi temu duga yang dikendalikan oleh beberapa peserta pameran di pameran kerjaya itu.

