Saturday, May 10, 2025
31.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 400 pesakit COVID-19 sembuh

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OKT – Negara Brunei Darussalam hari ini mencatatkan jumlah keseluruhan kes jangkitan COVID-19 seramai 12,955 orang, setelah sebanyak 132 kes baharu dilaporkan hari ini.

    “Daripada jumlah tersebut, terdapat 83 tambahan kes baharu kepada 15 kluster aktif yang sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya,” kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Sementara itu, dua kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 16 kes yang menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 176.

    “Satu daripadanya adalah kluster kediaman manakala satu lagi iaitu Kluster ISS Facility Services Sdn Bhd adalah kluster tempat kerja,” jelasnya.

    “Dalam pada itu, terdapat 33 kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” tambahnya lagi.

    Selain itu, negara turut mencatatkan jumlah kes sembuh tertinggi hari ini iaitu sebanyak 416 kes, yang membawa jumlah kes yang sembuh kepada 10,864 kes manakala jumlah kes aktif sebanyak 2,004 kes.

    Yang Berhormat Dato kemudiannya memaklumkan kes-kes yang sedang menerima rawatan sekarang iaitu tujuh kes dalam kategori 5 dan dirawat di Unit Rawatan Intensif, yang mana kesemuanya memerlukan bantuan mesin pernafasan dengan dua daripadanya juga memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

    “Sementara itu, 15 kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” tambahnya lagi.

    Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,935 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 497,082 ujian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda