Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Seramai 4,451 orang domestic runners telah mendaftar dan disenaraikan dalam Direktori di laman web Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC) setakat 6 Oktober.
Statistik berkenaan dikongsikan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim yang turut mengingatkan para domestic runners yang berdaftar untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Ini termasuklah bagi setiap runner untuk dikehendaki membuat ujian swab COVID-19 RT-PCR setiap minggu di pusat-pusat swab pandu lalu bagi memastikan mereka adalah negatif daripada jangkitan COVID-19.
“Seterusnya, domestic runners hendaklah mengemaskini tarikh terakhir menjalani ujian swab masing-masing setiap minggu melalui laman web MTIC, iaitu www.mtic.gov.bn/pendaftaran mulai 8 Oktober 2021,” jelas beliau lagi semasa sidang media di Bilik Cemerlang, Bangunan MTIC, hari ini.
Haji Hairul Mohd Daud menyatakan bahawa MTIC amat berterima kasih kepada para runners dan orang ramai atas sokongan yang diberikan dalam pendaftaran domestic runners ini.
Ia menunjukkan kerjasama dalam saling memainkan peranan untuk memastikan kepentingan, keberadaan dan kesejahteraan semua pihak, khususnya para runner dan pelanggan masing-masing.