MOSCOW, 14 JULAI – Hujan lebat menyebabkan bekalan elektrik terputus dan menjejaskan kira-kira 4,000 isi rumah di Seoul, Korea Selatan, manakala 134 penduduk di seluruh negara dipindahkan, lapor Sputnik memetik agensi berita Yonhap hari ini.
Lebih 2,000 isi rumah di Seodaemun terputus bekalan elektrik selepas talian kuasa voltan tinggi terjejas akibat pokok tumbang, kata Ibu Pejabat Keselamatan dan Pencegahan Bencana.
Selain itu, sebanyak 2,000 isi rumah di Dobong turut mengalami gangguan bekalan elektrik.
Pihak berkuasa telah memindahkan 134 orang di seluruh negara akibat hujan lebat, termasuk 77 di Seoul, dengan 104 daripada mereka masih berlindung di tempat lain, menurut agensi itu.
Kebanyakan kawasan di Korea Selatan diletakkan dalam amaran hujan lebat setakat pagi Jumaat, dengan kawasan di Seoul diramalkan menerima taburan hujan sehingga 50mm sejam.
Bahagian selatan wilayah Gyeonggi, kawasan pedalaman selatan dan kawasan pergunungan di wilayah Gangwon, wilayah Chungcheong dan wilayah Jeolla Utara pula diramal menyaksikan taburan hujan sehingga 200mm sepanjang Sabtu. – Bernama


