SEREMBAN, 21 MAC – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan telah merampas 4,389 unit barangan disyaki tiruan bernilai RM127,150 di Bazar Aidilfitri Senawang di Seremban semalam.
Pengarahnya, Mohammad Zahir Mazlan berkata antara barangan yang dirampas adalah seluar, baju, selipar, kasut dan beg tangan pelbagai jenama menerusi operasi Op Gempur Barang Tiruan sempena Hari Raya Aidilfitri 2025.
Beliau berkata serbuan tersebut dilakukan hasil daripada aduan pihak pemilik cap dagang dan orang awam.
“Dalam operasi tersebut, seramai enam orang warga tempatan berusia antara 20 hingga 50 tahun ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan.
“Operasi yang bermula pada pukul 9 malam itu melibatkan 66 Pegawai Penguat Kuasa KPDN negeri, 11 anggota polis serta 12 wakil pemilik cap dagang,” katanya dalam satu kenyataan di Seremban, hari ini.
Mohammad Zahir berkata lapan kertas siasatan telah dibuka dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 102(1)(b) Akta Cap Dagangan 2019. – Bernama
