Lebih $40,000 lagi diterima

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Sejumlah $44,287 lagi telah diterima oleh Kementerian Kesihatan hari ini, bagi membantu menangani penularan pandemik COVID-19 di Brunei, yang disumbangkan oleh pelbagai pihak termasuk kerajaan dan syarikat-syarikat
swasta.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, bagi majlis penyampaian sumbangan derma yang berlangsung di Bilik Tetamu, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan, sumbangan diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar.

Pada majlis berkenaan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan menyumbangkan cek berjumlah $6,000 yang disampaikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Manakala itu, pada majlis yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, sumbangan bagi Kementerian Kesihatan diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat 1 selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Tingkat Khas, Haji Abdul Khalid As’ari bin Haji Azahari.

Pada majlis berkenaan, Sekolah Rendah Haji Mohd Jaafar Maun Kiulap (Kluster 2) menyerahkan cek berjumlah $523 yang disampaikan oleh Guru Besar, Hajah Noraini binti Haji Timbang dan GLAMCO Aviation (B) Sdn Bhd menyumbangkan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Pengerusi, Pengiran Dato Haji Abidin bin Pengiran Ahmad dan Pengarah Urusan, Shran Jeet Singh.

Armada Properties Sdn Bhd pula menyumbangkan cek berjumlah $10,000 yang disampaikan oleh Ketua CSR, Dayang Osmalinawati binti Haji Osman dan AIA Singapore Private Limited, Cawangan Brunei menyumbangkan cek $5,000 manakala itu, ejen dan kakitangan AIS Singapore Private Limited menyumbangkan cek berjumlah $7,264 yang kedua-duanya disampaikan oleh Pengurus Besar, Kenneth Ling.

Nursabrina Sdn Bhd pula menyumbangkan cek berjumlah $5,000 yang disampaikan oleh Pengarah, Farook Ali Varusai Mohamed; Centrepoint Badminton Players menyumbangkan cek berjumlah $1,500 yang disampaikan oleh Dayang Nurummustaspian Chuchu dan sumbangan daripada Pizza Hut Brunei berupa cek berjumlah $4,000 disampaikan oleh penderma-penderma terdiri daripada kakitangan dan pelanggan Pizza Hut Brunei.

Sumbangan adalah sebagai tanggungjawab sosial korporat daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani serta membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham menerima sumbangan daripada Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Kenneth Ling.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Dayang Osmalinawati.
Haji Abdul Khalid As’ari menerima sumbangan daripada Pizza Hut.