Lebih 42 peratus masih bujang di Korea Selatan

SEOUL, 27 SEPT – Lebih 42 peratus penduduk Korea Selatan, berusia 30an masih belum berkahwin tahun lalu dan menunjukkan trend ramai orang muda sama ada lambat atau enggan berkahwin berikutan kelembapan ekonomi yang berterusan.  

Daripada 13.7 juta individu bujang berusia 15 tahun ke atas pada tahun lalu, 2.82 juta adalah penduduk berusia 30an, meningkat daripada 2.68 juta lima tahun sebelumnya, lapor agensi berita Yonhap memetik  bancian 2020 oleh Statistik Korea.

Peratusan orang bujang berusia 30an mencapai 42.5 peratus tahun lalu, meningkat sebanyak 6.2 peratus berbanding 36.3 peratus pada 2015. Ini menandakan kali pertama ia mencecah 40 peratus tertinggi untuk kumpulan umur tersebut. Berdasarkan jantina, 50.8 peratus lelaki berusia 30an belum berkahwin, sementara wanita bujang menyumbang 33.6 peratus.

Ramai golongan muda Korea Selatan memilih untuk mengelak daripada tiga tanggungjawab utama kehidupan – berpasangan, berkahwin dan mempunyai anak – disebabkan tidak dapat mencari pekerjaan sesuai di tengah kelembapan ekonomi dan harga rumah yang melambung. – Bernama