KUALA LUMPUR, 6 MAC – Seramai 43,406 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri yang dilanda banjir setakat 8 malam ini.
Di Johor, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 40,129 orang malam ini berbanding 49,543 petang tadi manakala 51 PPS ditutup hari ini.
Jumlah mangsa banjir di Melaka menurun sedikit kepada 593 orang setakat 8 malam ini berbanding 597 orang pada sebelah petang melibatkan 160 keluarga di lima PPS.
Di Pahang, aplikasi Info-Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 2,684 orang yang ditempatkan di 19 PPS malam ini berbanding 2,888 orang di 20 PPS petang tadi. – Bernama