Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sejumlah $459,532.74 hasil kutipan daripada Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan syarikat-syarikat telekomunikasi iaitu Syarikat Datastream Digital Sdn Bhd (DST), Progresif Sdn Bhd dan imagine Sdn Bhd untuk Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 telah diserahkan, hari ini.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak $137,028.74 adalah hasil kutipan daripada 132 tabung yang ditempatkan di masjid-masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara.
Manakala, Syarikat DST pula telah menyerahkan sejumlah $267,451 yang merupakan hasil kutipan derma pelanggan DST melalui kempen SMS Brunei Prihatin sebanyak $257,451 dan sumbangan daripada DST sebanyak $10,000.
Progresif pula menyerahkan sejumlah $49,623 yang merupakan hasil kutipan derma pelanggan melalui kempen SMS Brunei Prihatin sebanyak $46,623 dan sumbangan daripada Progresif sebanyak $3,000.
Sementara itu, imagine menyerahkan sejumlah $5,430 iaitu hasil kutipan daripada kempen SMS Brunei Prihatin dan menerusi portal laman sesawangnya.
Dalam kesempatan ini, Urus Setia Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma-penderma di negara ini sama ada secara individu, kumpulan, jabatan, pertubuhan, badan-badan atau syarikat-syarikat atas sumbangan yang telah diberikan kepada tabung
berkenaan.