Thursday, September 19, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Lebih 4,600 stesen pemancar Sabah dinaik taraf

    SIPITANG, 15 SEPT – Sebanyak 4,629 stesen pemancar sedia ada di Sabah dinaik taraf menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan tahap kesalinghubungan dan perkhidmatan Internet berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan rakyat.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memberitahu  sebanyak 303,569 premis pula akan dilengkapi sambungan gentian optik melalui JENDELA.

    “Perkhidmatan jalur lebar melalui satelit Broadband Wireless Access (BWA) turut dilaksanakan di 138 lokasi di negeri berkenaan,” kata kenyataan itu.

    Pembuktian konsep (POC) perkhidmatan jalur lebar Starlink di pedalaman dan terpencil juga dilakukan dengan peranti telah dipasang di Papar, Keningau (dua lokasi), Tawau (dua lokasi) serta masing-masing satu lokasi di Kudat, Ranau, Tuaran dan Nabawan, menurut kenyataan itu.

    “Pemasangan peranti POC Starlink ini bagi menilai kebolehlaksanaan penyediaan perkhidmatan jalur lebar menggunakan satelit itu sebagai salah satu langkah untuk memenuhi pelbagai keperluan yang terangkum dalam JENDELA,” katanya. 

    Kenyataan itu juga menyatakan 118 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah beroperasi di seluruh Sabah manakala 14 lagi NADI baharu akan dibina.

    “Bagi memperkasakan komuniti selain memastikan capaian serta peluang sama rata, program yang ditawarkan di NADI kini berpaksikan lima teras utama iaitu Keusahawanan, Pembelajaran Sepanjang Hayat, Kesejahteraan Kendiri, Kesedaran dan Inisiatif Kerajaan,” katanya. – Bernama

    Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (kanan) mendengar penerangan mengenai operasi menara daripada Specialist Strategy and Project Realization USP Management Corporate Affairs CelcomDigi Bhd Muhammad Fathi Azhar (dua, kanan) sewaktu meninjau Pengoperasian Menara Telekomunikasi JENDELA Fasa 1 Kampung Menengah Ulu pada 15 September. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda